Aku telah ingatkan mereka daripada awal lagi. Sesiapa saja yang terlibat dalam produksi filem Jibam ini hendaklah jujur dan ikhlas. Jangan dengki, iri hati dan tamak haloba. Senang kata jangan ada sekumit hitam di hati mereka. Baik produser, pengarah filem, production team dan juga technical team. Ini kerana kita akan garapkan sebuah cerita tentang seorang kanak-kanak OKU yang jujur dan lurus bedul. Badi kanak-kanak ini telah aku rasai daripada awal menulis skrip dan dalam usaha selama satu tahun cuba mendapatkan produser menerbit filem itu. (Sila rujuk pada entri ‘Harry Porter Melayu’).
Tugasan aku selaku Executive Producer dalam menyeleraskan lokasi baru di Slim River semuanya beres. Segala peralatan termasuk kayu kayan, zinc lama, dinding bertam, atap bertam untuk membina set rumah Jibam, rumah Tuk Ngah Sudin, rumah Usin Singai, rumah Usup Kidung dan sebuah warung Pak Itam semuanya sudah berada di tapak lokasi, walaupun satu sen duit belum dikeluarkan lagi oleh produser. Semua itu di atas kepercayaan orang kampung di Slim River kepada aku.
Selain itu props seperti sebuah van body kayu, 8 buah basikal lama, dapur minyak tanah cap ‘butterfly’, tempayan-tempayan lama untuk diletakkan depan setiap rumah semuanya sudah diperolehi atas usaha Atan Slim. Setiap kali aku naik ke Slim River, dia orang datang jumpa aku bertanyakan duit mereka. Tukang-tukang rumah pula tanya bila rumah-rumah itu hendak didirikan kerana dinding bertam dan atap bertam yang lama sangat tersandar di pokok kena hujan panas akan jadi rosak dan susah hendak dipasang nanti.
Orang kampung mula excited kerana pertama kali sebuah filem akan dilakukan pengambaran di kampung mereka. Bahkan Ketua Kampung, Tuk Penghulu, DO dan OCPD, pantang jumpa aku mesti tanya bila kami nak start shooting. Yalah, selepas pelancaran itu hari berita ini dah tersebar di dada akhbar. Dengar khabar berita ini juga sudah sampai ke pejabat Menteri Besar di Ipoh.
Aku tanya produser bila nak bayar duit dia orang tu dan bila kita nak mula shooting. Rupa-rupanya produser tak ada duit. Dia mengharapkan dana FINAS sebagai modal untuk filem ini. Sebaliknya dana itu melalui bank SME. Pihak bank SME pula hanya akan release payment yang pertama setelah 25% pengambaran dilakukan. Selain itu dengar khabar pihak bank SME tidak bersetuju dengan beberapa orang pelakon baru yang dipilih oleh pengarah. Mereka mahu pelakon-pelakon yang ada commercial value.
Produser minta aku dapatkan mana-mana kawan atau investor yang interested JV dan pump-in modal awal sebanyak RM400 ribu untuk filem ini. Kalau aku ada kawan atau investor, lebi baik dari awal dulu aku terbitkan sendiri filem ini. Tak adalah nak susah payah macam ni.
Apapun aku kena jalankan tugas aku selaku Executive Producer. Aku berunding dengan bos syarikat pembekal equipment filem ini. Kerana kesiankan kami, dia sanggup release dulu equipment tanpa bayaran sehingga kami dapat first payment dari bank SME. Tapi itupun kami nak kena bayar technical crew, production crew dan pelakon. Mana kami nak cekau duit? Di atas dasar simpati dan beliau yakin kami akan bayar, dia bersetuju untuk release equipments dan technical crew.
Aku sampaikan berita baik ini kepada produser. Aku pujuk produser bayar dulu 10% kepada production team dan pelakon, kita dah boleh mulakan shooting. Tapi aku tengok muka produser ketat aje…! Sepuluh peratus pun dia tak daya nak usahakan. Aku sendiripun dah tak tahu nak cakap lagi. Muka aku dah tebal giler. Orang kampung asyik tanya duit mereka.
Jalan terakhir, aku lakukan sesuatu yang di luar batasan. Cerita ini memang tak pernah tersebar di mana-mana. Selama ini memang tak ada siapa pun yang tahu, kecuali kami lima orang saja. Dan….buat pertama kali, aku bongkarkan usaha terakhir aku itu di dalam blog ini.
Di atas bantuan seorang kawan, beliau bawa aku berjumpa David Teoh. Dalam perbincangan kami, David minta aku bawa produser jumpa dia. Kalau produser setuju pada syaratnya, David akan bantu. Depan David juga aku call produser. Appointment set untuk meeting di pejabat Metrowealth pagi besok.
Pagi besok produser datang dengan bisnes partner dia. Kami berempat mula berbincang untuk selamatkan Jibam. David Teoh bersetuju membiayai 100% kos pembikinan filem itu dengan syarat:
- Tukar pengarah baru.
- Tukar pelakon-pelakon remaja kepada yang ada commercial value.
- Dia akan monitor pembikinan filem ini dari A sampai Z.
Aku renung produser dan bisnes partnernya dengan harapan mereka bersetuju. Tapi sebaliknya dua-dua pun aku tengok muka kelam aje…! Kemudian produser bersuara. Katanya, dia dah keluarkan RM20 ribu untuk buat lagu tema.
David terkejut tepuk dahi. “Haiyaa….sape suruh you buat theme song? Kita shot dulu baru buat theme song.”
Jawab produser, dia ikut kata pengarah. Tapi kata David, buat theme song RM5 ribu sudah cukup. Produser terdiam. Mungkin terasa dia sudah tertipu. Aku ingatkan Tipah saja tertipu. Tapi produser yang begitu berhati-hati pun tertipu juga. Sedangkan duit skrip aku pun ada setengah lagi belum bayar. Usaha aku selama ini selaku executive producer pun hanya bagi advance untuk minyak kereta, bayar tol dan makan minum saja.
David hanya tunggu jawapan produser. Kalau setuju, besok juga akan diadakan sidang akhbar dan terus pre-pro untuk gerakkan filem ini. Dan itulah kali terakhir aku jumpa produser. Sehingga sekarang semuanya diam! Duit skrip pun masih tertunggak lagi. Saudara AF pula selepas itu tak mahu jawab call aku. Sehingga sekarang aku dan dia sudah tak bersua muka lagi. Tapi dekat bulan baik ni, aku minta sekiranya dia terbaca catatan ini, aku maafkan dia dan aku juga pohon ampun dan maaf sekiranya aku bersalah. Jangan putuskan siratul-rahim persahabatan kita selama ini.
Sebenarnya konflik aku dengan sdra AF kerana aku tidak bersetuju isteri dia pegang watak ‘Miah’. Dalam filem ini watak ‘Miah’ ialah seorang gadis kampung yang baru lulus MCE dan masuk belajar di UPM. Kita sendiri boleh bayangkan bagaimana wajah, bentuk badan dan warna kulit watak Miah itu. Sedangkan isteri dia berwajah ala-Pan Asian, tinggi lampai dan berkulit cerah.
Kedua, dia mahu olah skrip itu dengan mewujudkan kembali watak ‘Suman’ yang sudah mati melihat Jibam setiap kali dipukul dan didera oleh Tuk Ngah Sudin dan Usin Singai. Dan ketiga, mungkin dia dapat berita aku bawa produser jumpa David Teoh. Apapun tujuan aku ikhlas untuk jayakan Jibam. Lagipun aku sudah banyak menanggung malu. Dahlah mula-mula di Terengganu, lepas itu di Slim River pulak.
Tetapi yang paling mengejutkan aku apabila keluar article dalam akhbar Berita Harian mengatakan ‘Jibam’ akan pindah lokasi dari Slim River ke Semenyih. Lantas aku call pemberita itu. Katanya dia tulis atas statement daripada produser. Aku terus kelu, dah tak boleh nak cakap apa lagi. Secara tidak langsung aku dapat agak tugas aku selaku Executive Producer sudah ‘dilucutkan’.
Pengorbanan dan usaha aku selama ini tidak dihargai. Sedangkan right ‘Jibam’ di atas nama aku, aku sanggup pindahkan kepada syarikat. Aku lakukan ini atas desakan produser kononnya akan melicinkan proses filem. Tetapi sebenarnya perasaan tamak sudah mula berakar berdasarkan kertas-kerja asal yang aku sediakan banyak boleh dapat penaja baik daripada syarikat swasta mahupun badan kerajaan.
Berita terakhir yang aku dapat tahu, produser bayar kepada penerbit novel sebanyak RM40ribu bayaran copyright cerita itu untuk difilemkan.
Share on Facebook
RSS Feed
Twitter

July 30th, 2010
rusliesophian 

































