Mungkin ramai yang keliru dengan tajuk saya di atas. Maksud saya sebenarnya ialah antara penulis skrip dan Internet Marketing atau berniaga di Internet.
Setelah saya meninjau ke beberapa blog, ramai daripada blogger kita yang sudah establish menasihatkan newbie agar fokus dalam usaha mereka menjana income daripada Internet. Dalam pada itu, newbie kena banyak belajar daripada mereka yang berpengalaman. Atau dalam bahasa mudah, seorang newbie kena ada seorang mentor.
Kalau kita ambil ikhtibar itu, maka dalam bidang penulisan skrip sama jugalah. Tetapi sebenarnya tidak! Memang pada awalnya untuk menjadi penulis skrip mestilah berguru dengan penulis yang sudah berpengalaman, atau masuk bengkel penulisan skrip.
Tetapi setelah mereka berjaya menghasilkan skrip yang pertama dan sudah dapat dijual, mereka tidak peduli lagi siapa yang telah mengajar mereka. Tulisan saya ini berdasarkan pengalaman sendiri. Saya telah mengajar beberapa orang menjadi penulis skrip sehingga mereka berjaya. Tetapi selepas itu, siapa saya kepada mereka?
Apa yang penting di sini ialah survival. Mereka akan menjadi pesaing kita dalam menjual skrip-skrip kepada produser. Janji skrip siapa yang laku, itu yang penting. Dan sebagai penulis baru, mereka sanggup terima apa saja bayaran oleh produser. Secara tidak langsung mereka telah merosakkan harga pasaran skrip.
Kalau 10 tahun dulu saya dapat jual satu skrip tele-movie dengan harga RM7,000 tetapi sekarang pada harga RM3,500 pun produser tawar menawar lagi.
Skrip untuk episod 30 minit dulu dapat dijual pada harga antara RM1,200 hingga RM1,500 satu episod, tetapi sekarang letak pada harga RM600 satu episod pun produser sudah terbeliak biji mata.
Bagi anda yang di luar bidang ini tentu berfikir siapa sebenarnya yang meluluskan setiap skrip untuk tayangan di TV. Memang skrip itu diluluskan oleh stesyen TV. Tetapi skrip-skrip itu akan dihantar oleh produser ke stesyen TV. Sempadan kita penulis skrip ke stesyen TV mestilah melalui produser.
Produserlah yang akan menentukan skrip mana atau siapa penulis skrip yang skripnya akan dihantar ke stesyen TV. Jadi setiap penulis skrip kena ngam dengan produser itu. Setelah diluluskan oleh stesyen TV, barulah produser minta penulis skrip pergi ke stesyen TV untuk buat presentation.
Jadi kalau penulis skrip itu duduk di luar Kuala Lumpur mungkin susahlah sikit. Begitu juga dengan penulis-penulis skrip yang sudah berusia. Mereka terus akan dipinggirkan oleh produser. Tidak seperti di Barat, semakin berusia seorang penulis skrip, semakin berharga skrip itu.
Tambahan pula kebelakangan ini pengarah, pelakon dan ada juga produser yang sudah mula buat skrip sendiri. Maka khidmat penulis skrip semakin terpinggir. Bidang ini semakin kompetitif.
Share on Facebook

































































