Akhirnya pukul 3.00 petang Jumaat semalam tele-movie ‘Fajar Kinaboi’ ditayangkan di RTM2. Saya memang menunggu tayangan tele-movie itu untuk mengetahui sejauh mana atau sebanyak mana pindaan yang telah dilakukan terhadap skrip asal saya.
Seperti yang telah diduga, nama penulis skrip telah ditukarkan kepada nama ‘Melati Puteh’. Saya dan kawan-kawan tertanya-tanya juga siapa dia penulis skrip bernama ‘Melati Puteh’ ini. Adakah dia seorang perempuan atau jantan?
Kalau benar ‘Melati Puteh’ ini seorang penulis skrip atau seorang karyawan, beliau tentunya tidak sanggup namanya digunakan ke atas sebuah karya orang lain. Saya sendiri akan merasa malu dan tidak tergamak untuk berbuat demikian.
Dalam mengikuti tele-movie itu, intro saya ialah menunjukkan watak yang dibawa oleh Faisal Hussein sedang memandu sebuah kenderaan 4WD hardcore meredah hutan rimba dalam keadaan yang mencabar dan berlatar belakangkan pemandangan hutan yang menarik dan telah ditukar kepada bomoh Orang Asli sedang mengubat pesakit.
Seterusnya tidak ada apa-apa perubahan yang telah dilakukan. Semuanya sama dengan cerita daripada skrip saya. Kalau pun yang telah tukarkan ialah membuang kegunaan kenderaan 4WD dan membuat watak-watak dalam tele-movie itu meredah hutan secara berjalan kaki.
Tujuan asal saya meletakkan kegunaan kenderaan 4WD ialah untuk memaparkan kepada penonton teknik-teknik memandu kenderaan 4WD di laluan-laluan yang sukar dalam hutan. Di samping penonton mengikuti jalan cerita, mereka juga berpeluang belajar teknik pemanduan 4WD dan di samping itu secara tidak langsung akan menaikkan rating tele-movie itu.
Pertukaran yang telah dilakukan itu adalah semata-mata untuk menjimatkan kos dan senang bagi pengarah melakukan pengambaran. Selain dari watak utama dan watak pembantu dengan 4WD, pegawai Perhilitan juga dengan 4WD dan telah ditukarkan 2 orang pegawai itu berjalan kaki dalam hutan dalam menjejak pemburu haram.
Seterusnya setiap plot dan sub-plot cerita itu tidak ada apa-apa perubahan. Semuanya sama. Kalau ada pun perubahan ianya sekadar direngkaskan supaya senang bagi mereka melakukan pengambaran.
Kalau begitulah keadaannya, sekiranya duit saya sebanyak RM2,000 itu telah dibayar kepada ‘Melati Puteh’ dan kalau benarlah ‘Melati Puteh’ telah menerima duit itu, saya merasakan ia adalah sesuatu yang amat jijik.
Terima kasih saya kepada kawan-kawan pengarah drama, pelakon drama dan juga kawan-kawan di Internet yang telah memberi sokongan kepada saya.
Seperti yang saya maklumkan, saya bukannya bertujuan meraih simpati. Tetapi apa yang saya perlukan ialah sokongan daripada semua pengarah-pengarah drama, pelakon drama, production team dan juga teknikal krew agar nasib mereka juga tidak akan dipermainkan oleh mana-mana produser yang hanya penting keuntungan semata-mata.
Kami dalam bidang ini telah banyak melalui pengalaman dengan produser kemut. Sehinggakan ada produser yang sanggup menyediakan sendiri makan dan minum artis dan krew dari rumahnya demi menjimatkan wang. Ada juga produser yang hanaya bagi bajet untuk sarapan sebanyak RM1.00 sahaja kepada artis dan krew, sedang harga segelas teh tarik pun lebih dari itu.
Kalau hendak diceritakan memang banyak cerita-cerita yang menyakitkan hati. Apa yang diharapkan biarlah produser-produser itu ada hati-perut sikit terhadap kami anak-anak seni.
Share on Facebook
RSS Feed
Twitter

Posted in 



