Pihak RTM dalam memberi peluang secara adil kepada produser membekal program TV sejak seminggu lalu telah memperkenalkan konsep secara pitching.
Dalam konsep ini pihak RTM telah menetapkan program-program seperti drama yang akan diterbitkan oleh mana-mana produser dengan menentukan siaran untuk hari-hari tertentu, seperti Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Guru, Hari Buruh, drama untuk siaran Hari Raya dan seterusnya.
Maka sejak seminggu lalu, produser, pengarah drama dan penulis skrip telah berkampung di RTM untuk membuat pembentangan pitching program.
Konsep pitching ini, penulis skrip akan diberi masa selama 10 minit untuk membuat pembentangan tentang jalan cerita sesuatu program yang dicadangkan. Di sini, ahli-ahli panel RTM akan mendengar setiap pembentangan dengan teliti dalam membuat penilaian.
Namun ada juga rungutan mengatakan penulis yang petah bercakap akan berpeluang dalam pitching itu.
Penulis skrip akan menggunakan minda dalam mendapatkan ilham untuk menghasilkan setiap karyanya. Mereka bukannya seorang pidato atau jurujual yang petah bercakap dalam melariskan jualan mereka. Sehinggakan seorang produser wanita yang juga seorang pelakon dan pengarah meluahkan, “sapa yang pandai ‘goreng’ akan dapat peluang”.
Saya sendiri berkesempatan sebanyak 4 kali membuat pembentangan dalam pitching itu. Saya tak mahu komen apa-apa. Kalau ada rezeki, dapatlah ia. Hanya komen saya, ahli-ahli panel RTM itu biarlah ada mesra sikit. Janganlah bermasam muka semasa kami membuat pembentangan. Ini membuatkan yang kami ini seolah-olah seperti ‘peminta sedekah’.
Tetapi yang seronoknya semasa pitching ini kami berpeluang berjumpa dengan semua kawan-kawan yang terlibat dalam produksi. Sempatlah kami bertegur sapa dan bertanya khabar.
Share on Facebook
RSS Feed
Twitter

Posted in 



