Tele-Movie 'Fajar Kinaboi'

Dunia produksi filem dan drama bukan setakat penuh dengan pancaroba, tetapi banyak tikam-menikam dan pancung memancung yang berlaku. Siapa yang kuat akan terus melonjak ke atas dan siapa yang lemah menjadi mangsa tindasan.

Saya tak tahu tentang dunia produksi di Hollywood, Bollywood, Hong Kong, Chinawood, Matsalehwood atau lain-lain wood di dunia ini. Tetapi di Malaywood, semua itu adalah perkara lumrah.

Seingat saya ketika di era Studio Merdeka membawa ke era Sabah Filem di mana filem ‘Si-Badul’ yang pertama dikeluarkan hingga ke era RTM memulakan drama swasta sebelum munculnya TV3, perkara-perkara begini tidak berapa ketara sangat.

Tetapi sejak 10 tahun kebelakangan ini dengan munculnya ramai produser-produser baru, pelakon-pelakon baru, pengarah-pengarah baru dan juga production crew dan technical crew baru, saingan menjadi semakin rancak dan mula berlaku tindas-menindas.

Masalah ini berpunca kerana penglibatan orang-orang baru dalam dunia ini bukannya kerana seni, tetapi kerana glamour dan duit. Maka sesiapa yang berjuang kerana seni akan terus menjadi mangsa back-stabbing.

fajar-kinaboi

Maka itu jugalah yang terjadi kepada saya baru-baru ini. Kalau anda perhatikan salinan di atas, itulah proposal yang telah saya sediakan untuk RTM. Setelah dipersetujui oleh panel-panel RTM, penulis skrip akan mula menulis skrip setelah pihak produser membayar wang pendahuluan.

Pada awal tahun 90an dulu, setiap skrip tele-movie bernilai antara RM5,000 hingga ke RM7,000 satu skrip. Sempat jugalah saya merasa kemewahan dari hasil tulisan kita pada masa itu. Tetapi kini meskipun nilai mata wang kita sudah tidak seperti dulu lagi,  sebuah skrip tele-movie hanya berharga sebanyak RM3,000 hingga RM4,000 sahaja.

Berbalik kita kepada skrip ‘Fajar Kinaboi’ ini, saya letak harga sebanyak RM3,500 sahaja kepada produser iaitu Suar Channel. Tetapi Che Din, Executive Producer syarikat produksi itu sanggup tawar menawar bayarannya. Akhirnya saya putuskan pada harga RM3,000 sahaja, tetapi beliau minta kurang lagi dan sanggup membayar RM2,800 sahaja.

voucher

Memandangkan janji beliau yang saya juga akan menjadi Penolong Pengarah untuk tele-movie ini, saya bersetuju dengan bayaran skrip sebanyak itu. Sebagai permulaan beliau menjelaskan bayaran sebanyak RM800.00 dahulu kepada saya.

Seperti yang dijanjikan yang saya akan menjadi Penolong Pengarah kepada produsernya sendiri, Azmi Musa yang akan mengarah tele-movie itu, saya terus recee lokasi di hutan yang bersesuaian dan menyediakan 2 buah kenderaan 4WD yang akan digunakan dalam tele-movie itu.

Shaharuddin Thamby saya cadangkan sebagai watak utama dan pelakon pembantunya ialah Ramli Salleh. Tetapi tanpa pengetahuan saya mereka terus memulakan pengambaran menggantikan dengan pelakon Faizal Hussein.

Bukan setakat itu saja, bahkan apabila saya telefon Che Din bertanyakan baki bayaran skrip saya, beliau sanggup membuat cerita mengatakan dia tak boleh bayar baki itu kepada saya kerana skrip itu telah diolah oleh penulis lain.

Kalau sudah begitu katanya, saya terpaksa terima sajalah. Walaupun saya ada hak ke atas baki bayaran skrip itu, namun apalah kudrat saya. Mungkin perkara ini tidak diketahui oleh pihak RTM, apatah lagi publik.

Tetapi kemusyikilannya di sini kenapa mesti orang lain olah skrip itu? Apa teruk sangatkah skrip saya? Kalau benar begitu, kenapa tidak ‘orang lain’ yang olah skrip itu sediakan konsep dan proposal skrip ini daripada awal untuk dipersembahkan kepada RTM?

Perlu diingat bahawa tajuk, konsep dan ceritanya adalah hasil karya saya. Tajuk ‘Fajar Kinaboi’ juga ada saya terangkan pada proposal awal kepada pihak RTM.

Saya rasa sedih apabila kerapkali dan banyak kali karyawan atau orang seni seperti kami ini kerap menjadi mangsa tokoh perniagaan. Saya katakan begitu kerana produser atau production house ini bukannya orang seni. Mereka adalah perniaga. Demi mendapat untung mereka sanggup lakukan apa saja tanpa mengira halal atau haram.

Tujuan saya di sini bukanlah hendak memburukkan sesiapa. Tetapi sesuatu yang buruk itu harus dibongkarkan supaya orang ramai tahu. Takkan kita tulis skrip bersengkang selama seminggu hanya lapan ratus ringgit sahaja imbuhannya.

Baki sebanyak RM2,000.00 itu bukan sedikit sebenarnya. Itu adalah sebulan gaji seorang Junior Executive. Duit sebanyak sebanyak itu boleh makan selama 2 bulan bagi sesetengah keluarga sederhana.

Dan tele-movie ‘Fajar Kinaboi’ ini akan keluar di RTM pada hari Jumaat 30hb Januari 2009 nanti. Itupun saya tak tahu sama ada nama saya dikekalkan selaku penulis skrip atau tidak dalam credit title nanti.

Saya hanya mampu berdoa semoga manusia yang berhati zalim itu akan menerima balasannya. Amin.

Share on Facebook

You can leave a response, or trackback from your own site.

One Response to “Tele-Movie 'Fajar Kinaboi'”

  1. Saya sebenarnya bukan mengharapkan simpati anda dengan apa yang saya bentangkan ini. Tetapi apa yang penting ialah sokongan agar pengarah drama, penulis skrip, pelakon, production team dan teknikal krew tidak lagi diperkotak-katikkan oleh produser yang hanya pentingkan keuntungan semata-mata.

Leave a Reply

Powered by WordPress | Palm Pre Reviews at Palm Pre Blog. | Thanks to Juicers, Free MMO and Fat burning furnace