“Kalau kau menjadi aku, aku yakin kau mengerti”. Begitulah luahan hati Jibam, seorang kanak-kanak golongan OKU yang dipaparkan dalam cerita ini. Itulah juga luahan hati aku selepas hampir satu tahun ke hulu ke hilir dengan skrip filem ini dalam usaha mendapatkan pembiayaan untuk menerbitkan filem tersebut.
Selepas sdra AF mengkategorikan cerita ini sebagai Harry Porter Melayu, beliau benar-benar teruja hendak mengarah filem ini. Beliau pujuk supaya aku mengizinkannya seandai dia dapat cari produser.
Selang seminggu sdra AF kenalkan aku kepada produser yang sanggup terbitkan filem itu. Alhamdulillah…
usaha selama setahun membuahkan hasil akhirnya. Dalam hati berkata, adalah rezeki kali ini, tidak-tidak pun untuk isi minyak kereta.
Tetapi sebaliknya produser minta pinjam dulu skrip filem itu untuk permohonan dana daripada FINAS. Kalau FINAS lulus, dia akan bayar. Minta advance sikit pun, dia kata tak ada duit. Susah juga fikirkan produser nak terbitkan filem, tapi tak duit untuk bayar advance skrip. Sdra AF asyik kenyitkan mata supaya aku bersetuju. Nak tak nak bagi juga skrip itu bersama proposal yang lengkap pada produser itu.
Dipendekkan cerita, kami dapat kelulusan FINAS sebanyak RM1.2 juta. Bajet asal yang aku buat ialah RM1.4 juta. Produser yakin dia boleh dapat RM200 ribu lagi daripada penaja.
Malam itu aku dijemput datang ke Ampang untuk production meeting filem ini. Rupa-rupanya produser dan pengarah, sdra AF sudah lantik production team. Selepas dikenalkan, aku diminta memberi sepatah dua kata.
Peluang ini aku gunakan untuk mengingatkan mereka semua bahawa watak Jibam ini ada badinya. Sebagai budak terencat akal dan lurus bedul, hatinya teramat jujur. Maka sesiapa saja yang terlibat dalam filem ini, baik produser, pengarah dan semua production team, jangan ada sedikitpun terpalit hitam di hati mereka. Usahalah sejujur-jujurnya dalam menerbitkan filem ini, insya-Allah rezeki akan sama-sama diraih.
Ada seorang dua tepuk tangan, ada yang hanya mengangguk dan ada juga yang jeling tajam pada aku malam itu. Tapi hati aku puas….
Share on Facebook































































Ini mesti meletup punya filem da..eheh…usaha yang terbaik pasti mendapat kejayaan.
Insya-Allah mudah2an.