Kalau diikutkan hati, aku dah malas nak cerita pasal ’Jibam’. Ramai bertanya apa dah jadi pada Jibam? Jawabku, Jibam dah lebam!
Kerana Jibam, banyak sangat pahit manis maung yang aku hadapi. Masa terbuang, duit tak dapat, nama tercemar dan paling menyedihkan, boleh putus kawan.
Kalau kawan-kawan nak tahu lebih lanjut, nantilah aku masukkan ke posting lain. Tapi untuk sekarang ni, membuatkan aku tergerak tulis hal Jibam ini setelah melawat satu blog yang mempertikaikan keputusan FINAS meluluskan pinjaman untuk filem ’Jibam The Movie’.
Tuan ampunya blog itu bukan calang-calang orang. Meskipun aku tak pernah bersua dengan dia, kira aku respect kerana pengalamannya dalam industri ini sebagai penulis, pengarah dan penerbit. Lebih-lebih lagi dia tu anak kepada pengarah veteran dan seniwati yang aku kagumi dek dalam usia mas masih hebat berkarya.
Buruk sangat ke cerita ’Jibam’ ini sehingga dia pertikaikan kelulusan Finas itu? Maka di sini aku perturunkan kertas-kerja projek filem tersebut untuk sama-sama kita nilaikan.
TUJUAN:
Tujuan kertas kerja ini ialah untuk mengemukakan satu cadangan menerbitkan sebuah filem cereka bertajuk ‘Jibam The Movie’ adaptasi daripada novel ’JIBAM’ terbitan CESB. Novel karya saudara Ujang ini sudah 9 kali diulang cetak dengan jumlah pengedaran lebih 200 ribu naskhah sejak tahun 1992.
Filem ini dijangka bukan sahaja mampu mengisi kemarau filem-filem Melayu bahkan ia akan menaikkan martabat filem Melayu dan mampu bersaing di festival filem antarabangsa.
2. KONSEP
Latar dan budaya cerita masyarakat Melayu.
Jiwa dan semangat Melayu dalam kontek sosiobudaya masyarakat kampung sekitar awal tahun 70an.
Penekanan tertumpu pada kehidupan seorang kanak-kanak kurang upaya (terencat akal) berserta dilema sistem kekeluargaan yang serba kekurangan.
Kezaliman dalam mengejar harta dunia.
3. PENONJOLAN ISU
Semangat muafakat dalam meneroka sebuah perkampungan baru di pinggir hutan sekitar awal tahun 70an.
Semangat setiakawan dan kerjasama masyarakat kampung Melayu.
Suka duka kehidupan anak yatim yang terencat akal.
Keistimewaan dan kebolehan luar biasa kanak-kanak tersebut.
Ketabahan seorang ibu tunggal dalam membesar seorang anak yang terencat akal berserta kerenah dua orang lagi anak remaja yang tidak sehaluan.
Penipuan dalam pengambilan dan penjualan tanah yang diterokai.
Sifat kaum Melayu yang mudah dipujuk.
Sifat hasad dengki dan tamak haloba yang akhirnya memakan diri sendiri.
Penonjolan budaya Melayu dari segi pakaian, adat resam, agama, permainan tradisional, pergaulan dan lain-lain.
4. OBJEKTIF
Mengisi kemarau filem Melayu di mana kita sudah lama tidak dihidangkan dengan cerita masyarakat kampung.
Memberi kesedaran kepada masyarakat supaya tidak mezalimi orang-orang kurang upaya.
Melahirkan sebuah filem yang tiada kaitan langsung dengan unsur-unsur glamour dan budaya barat.
mengetengahkan nilai-nilai budaya Melayu yang sebenar bagi tontonan semua lapisan masyarakat.
Turut bersaing dalam festival filem antarabangsa dalam mengangkat martabat filem Melayu di mata dunia.
PENONTON DAN KUMPULAN SASAR
Anak-anak yatim dan golongan orang-orang kurang upaya dalam tayangan amal dan tayangan perdana.
Kanak-kanak dan remaja dalam linkungan umur 7-18 tahun.
Belia-belia dalam linkungan umur 18-45 tahun di mana sebahagian daripada mereka yang pernah membaca novel ini 15 tahun lalu.
Ibu-bapa yang mengiringi anak-anak ke pawagam.
Peminat-peminat filem Melayu yang dahagakan sebuah cerita bercorak tradisional (elemen seni budaya Melayu).
peminat-peminat Ujang sendiri yang dianggarkan seramai 1 juta orang sejak dari mula beliau berkarya.
RUMUSAN
Filem ini boleh dijadikan landasan dalam menonjolkan satu bentuk sinergi di antara pihak kerajaan dengan masyarakat majmuk.
Menjana senario kehidupan yang aktif dan pro-aktif dalam konteks pembangunan kehidupan kekeluargaan.
Ketahanan institusi keluarga dengan ikatan kekeluargaan yang memperkukuhkan nilai budi, kasih sayang, hormat menghormati dan bertanggungjawab.
Pembentukan semangat kerjasama yang boleh memaparkan identiti bangsa Malaysia.
Melibatkan peranan NGO di dalam membantu kalangan ‘OKU’.
ketabahan hati seorang ibu tunggal yang boleh dicontohi oleh kaum wanita.
WAWASAN
Cetusan filem ini adalah untuk digemari dan didokong oleh semua lapisan masyarakat supaya bersama-sama di dalam arus menuju ke arah matlamat meningkatkan martabat filem-filem Melayu.
Share on Facebook

RSS Feed
Twitter

Posted in 






Heh… cerita ni memang sedap.. byk unsur2 kemasyartakatan dan budaya rakyat Malaysia.. apa nak dipertikaikan lagi. Saya dah baca ceritan Jibam ni berulang-ulang kali, tak jemu pun ..
Kita dah lama kekurangan cerita serius yg mempamerkan unsur2 kebudayaan Malaysia. Nah..benda dah ada depan mata… apa lagi…keluarkanlah..!! Ini tidak, cerita merempit… cerita korang bermoral yang sering dilayarkan… Kononnya untuk menyedarkan masyarakat bahayanya aktiviti itu..tapi takkan la mereka tak sedar… remaja dan masyarakat zaman sekarang ni, bukan nak ambil iktibar dari cerita tetapi nak ambil aksi dari cerita untuk menjadi hero semasa…
Terima kasih Missa meluangkan masa melawat dan membaca di blog saya. Sebagai menjawab komen Missa, saya adakan entri baru berkait Jibam The Movie. Harap dapat luangkan masa dan sama2 kita bincang kerana saya akan adakan sambungan pada entri itu.