Berkawan biarpun beribu, berkasih biarlah seorang. Itu adalah petua yang diturunkan kepada kita. Tapi orang sekarang kalau dah berkawan sampai beribu, berkasih juga mahu jumlah yang sama. Jarang-jarang atau kadang-kadang atau sekali sekala saja kita temui orang yang benar-benar jujur pada kekasihnya. Itu berkasih, orang yang dah kahwin pun ramai yang tidak jujur pada pasangan masing-masing.
Cerita pasal kawan, banyak jenis kawan yang ada. Kalau dulu aku berkawan dengan semua orang tanpa ada batasan. Sikap aku itu pernah ditegur oleh abang aku sendiri. Katanya ada kawan luar pagar, ada kawan di laman, ada kawan atas tangga dan terlalu sikit kawan yang boleh diajak masuk ke rumah.
Apatah lagi dalam era sekarang ni, ramai kawan makan kawan. Kebanyakan kawan mencari kepentingan diri sendiri dan sanggup menindas kawan. Pengalaman telah banyak mengajar aku. Kita berceritakan pada kawan tentang satu konsep kertas-kerja, alih-alih tanpa disedari dia dah jalankan projek dari kertas-kerja itu.
Ada seorang lagi kawan cara dia lagi kejam. Dah 2 tahun dia terkuntal-kantil sejak diberhentikan kerja oleh sebuah stesyen TV swasta. Memandangkan kita dapat job bernilai RM1.5juta dari sebuah syarikat kereta untuk menerbitkan sebuah program TV, maka kita ambillah dia bekerja. Kita bawalah dia berjumpa dengan big boss syarikat kereta itu. Alih-alih kita terima surat dari syarikat kereta itu job itu dibatalkan. Selang tak lama program itu keluar kat TV diterbitkan oleh kawan itu.
Dua contoh kawan yang aku ceritakan itu adalah kawan baik. Boleh diibaratkan tidur sebantal makan sepinggan. Walaupun sebenarnya tak pernah terjadi begitu. Tapi itulah kawan pada zaman ini. Sukar mendapat kawan yang jujur dan ikhlas. Kalau minta tolong, “berapa kau nak bayar aku”. Itu dialog yang kerap digunakan.
Kembali ke zaman kanak-kanak, kita berkawan, sama-sama bermain di bendang menangkap ikan laga. Pergi mengaji koran pun bersama. Selepas itu pergi mandi sungai dan memancing bersama. Kalau dikenangkan memang seronok pada zaman itu. Itu tak termasuk lagi dengan segala jenis permainan kampung yang direka sendiri. Kalau malam tujuh likur atau malam raya lagi meriah berkawan.
Tapi kanak-kanak sekarang balik sekolah, mengaji koran ustadz datang ke rumah. Selepas itu duduk terperap dalam bilik main komputer game. Dah dekat senja baru keluar main bola dengan kawan-kawan kat padang depan rumah. Thrill dah tak ada lagi. Tidak lasak atau robust macam kanak-kanak dulu.
Cara berkawan yang paling digemari ramai sekarang ini ialah berkawan di alam maya. Berkawan di facebook, di twitter, di friendster dan macam-macam ‘ter’ lagi. Jangan terjebak sudah! Tapi sebenarnya ada juga yang aku dengar orang terjebak dalam berkawan di alam maya ini. Paling ketara terjebak dalam skim internet dan dah habis duit mulalah meraung.
Kesimpulannya sekarang ini aku dah kurang berkawan. Biar tak ramai kawan, hati senang. Kalau turun ke padang golf, ada kawan nak join main, kita main sama-sama. Habis main, habis cerita. Kawan ajak pergi biking, kita pergi. Balik dari biking, buat hal sendiri-sendiri. Begitu juga kawan ajak masuk hutan 4WD, kita pergi. Daripada lepak hooray hooray dengan kawan-kawan kat warung atau pergi clubbing hingga ke pagi dah tak ada lagi dalam kamus diri aku.
Tambah pula selalu terkenangkan ramai kawan-kawan baik yang sudah kembali ke rahmatullah. Dalam diri mereka yang masih segar bugar dan sihat walafiat, tiba-tiba mereka dijemput oleh malaikat maut. Dan kita seharusnya bersyukur masih diberi peluang untuk meneruskan hidup di dunia yang penuh pancaroba ini. Maka setiap kali selepas solat, ada baiknya kita sedekah Al-Fatihah kepada mereka dan setiap malam Jumaat sedekahkan surah Yassin semoga roh mereka ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.
Share on Facebook































































Terrific, that’s exactly what I was seeking for! You just spared me alot of work