Malam tadi, dalam usaha mencari ilham untuk menyiapkan skrip, aku ke 7E untuk mendapat ’sumber’ insprasi minda. Kalau benda ni tak ada…kalau tak berasap, memang fikiran beku. Teneng macam mana sekalipun idea tetap tak mahu datang. Bila serombong dah mula berasap…idea pun mula mencurah-curah.
Keluar dari 7E, kelihatan Din yang menjual nasi lemak keseorangan. Gerai dia lengang…tak ada seorang pelanggan. Oleh kerana dia dah terpandang aku, terpaksalah aku singgah di gerainya untuk mengambil hatinya. Bila ditanya macam mana bisnesnya malam ni, katanya slow. Pada awal bulan jualan kat gerai memang slow kerana orang baru dapat gaji. Mereka lebih gemar pergi makan kat restoran.
Dalam pada bersembang dengan Din, adalah tiga orang pelanggan datang membeli. Bila pelanggan dah beredar, kami sambung sembang lagi. Katanya kalau dapat dia berharap untuk mendapatkan gerai Majlis Bandaran. Tambah Din lagi, berniaga tepi jalan ini bergantung pada nasib. Kalau nasib tak baik, gerai diserbu oleh penguatkuasa dan segala peralatan jualannya dirampas.
Kemudian seorang lelaki Cina dalam pertengahan umur yang baru keluar dari restoran Cina berhadapan singgah di gerai Din. Mr. Pang mula membebel kerana negara kita sekarang ini dipenuhi oleh warga-warga asing. Ke mana pergi pun semua ada warga asing. Sehinggakan sudah tidak terasa berada di Malaysia lagi. Dia benar-benar berharap kerajaan kita segera melakukan sesuatu bagi membendung warga asing itu. Apa yang dia paling bimbang ialah wang dari negara kita sudah banyak mengalir keluar.
Untuk itu, sama-samalah kita renungkan. Aku juga berharap negara kita seperti di awal tahun 70an dulu, tidak ada warga asing yang membanjiri bumi kita.
Bila disebut tahun 70an, Mr. Pang mula excited. Katanya pada zaman itu kalau makan roti canai dan teh tarik baru kena 60 sen sahaja. Roti canai di zaman itu pula jauh lebih enak daripada roti sekarang. Dari topik roti canai beralih pula ke topik disko. Satu-satunya disko yang terkenal pada zaman itu ialah disco ‘Underground’ berhadapan hotel Jayapuri (sekarang PJ Hilton). Aku masih ingat live band yang pernah perform kat sana seperti The Strollers, The Wild Timers, Scrap Yard, Grim Preachers dan lain-lain. Kalau tak silap ‘Headwing’ juga pernah main kat sana.
Dari situ perbualan kami melerek pula ke motosikal dan kereta. Katanya pada ketika itu dia menggunakan motosikal Yahama RD125cc. Route rempitnya pada masa itu ialah dari PJ Old Town ke Jalan Gasing keluar ke Federal Highway masuk semula ke Jalan Timur dan PJ New Town kemudian tamat di PJ Old Town.
Aku pula ketika itu dengan motosikal Suzuki GT250 lebih gemar mengambil route dari Section 16 PJ ke Jalan Semantan di Damansara dan keluar ke Jalan Duta. Apabila disebut sahaja nama Jalan Duta, Mr. Pang terkekeh ketawa kerana terkenangkan di situlah setiap malam terdapat berderet ‘kereta-kereta rosak’. Tetapi yang anehnya ketika itu semua kereta-kereta itu tidak pernah diganggu baik oleh mana-mana pihak berkuasa ataupun kumpulan penjahat. Kalau ada pun hanyalah segelintir kaki pengendap.
Tetapi ketika itu kereta yang paling berkuasa baik di jalan raya mahupun di litar lumba Batu Tiga tidak lain dari kereta Datsun SSS 1600cc. Sehinggakan pelumba Albert Poon dari Hong Kong dengan kereta Alfa Romeo pun tidak dapat menandingi kereta Triple S ini. Tetapi apabila munculnya kereta Mazda Capella RE, ia mula mengambil-alih sebagai King of the Track.
Posting seterusnya nanti insya-Allah aku akan ceritakan lebih lanjut nostalgia litar lumba Batu Tiga pula.
Share on Facebook
RSS Feed
Twitter

Posted in 





