Nyanyuk Terlampau

Kita tentu dah biasa dengar tentang pramuguri terlampau, pelakon terlampau dan banyak lagi benda yang terlampau. Tetapi apa yang aku bentangkan ini bukan saja pelik, tapi ia memamg menyayatkan hati.

Nyanyuk memang satu perkara lumrah terjadi kepada setiap manusia yang sudah meningkat usia. Senang kata setiap orang akan mengalami nyanyuk apabila dah tua. Cuma peringkat tahap nyanyuk itu berbeza-beza.

Cerita kali ini berkait salah seorang saudara aku. Biarlah kita panggilkan dia dengan nama ‘Pak Osman’. Sebenarnya dalam usia 74 tahun, Pak Osman bukanlah tua sangat. Sedangkan Mantan Perdana Menteri kita pun sudah berusia lebih pada 80 tahun. Tetapi kalau itu sudah menjadi suratan takdir, maka terpaksalah diterimanya.

Suatu petang kaum keluarga mendapati Pak Osman hilang dari rumah. Sebenarnya kerana tahap nyanyuk yang dihadapi oleh beliau itu membuatkan keluarga terpaksa kunci pintu pagar. Maka setiap petang Pak Osman hanya duduk di laman. Tetapi petang itu dia didapati tidak ada di halaman. Yalah, halaman rumah teres corner lot, besar manalah sangat.

Maka pencarian Pak Osman di sekitar kawasan perumahan itu dimulakan. Setelah 3 jam usaha itu dilakukan, bayang Pak Osman pun tak ditemui. Ada yang berjalan kaki, ada yang bermotosikal dan ada yang berkereta, Pak Osman tetap gagal ditemui.

Apabila diberitahu, aku dan keluarga bergegas ke rumah Pak Osman. Aku pun mulalah berlagak bagai ‘Mr. Columbo” menyoal-siasat punca kehilangan Pak Osman. Maka terungkailah sedikit clue.

Kami bergegas ke pasar basah Subang Jaya yang dikatakan Pak Osman kerap ke sana. Memang tepat sekali tekaan kami. Pak Osman ada datang ke situ tadi, tapi katanya dia dah pergi. Kami ronda di sekeliling kawasan berhampiran dengan harapan dia ada dekat situ. Tetapi hingga lewat maghrib, kami gagal menemuinya.

Sudah 6 jam Pak Osman hilang. Jalan terakhir kami ke balai polis untuk membuat laporan. Tapi sayang laporan tak diterima, kecuali kehilangan itu sudah melebihi 24 jam. Nak buat macam mana itu dah undang-undang polis. Kami terpaksa akur.

Balik ke rumah, kami berbincang. Aku cadangkan kita pecahkan kepada 5 kumpulan untuk mencari beliau di sekitar Subang Jaya. Sehingga jam 3 jam kami masih gagal menemuinya. Timbul pelbagai andaian di benak aku….apakah masih selamatkah dia? Di mana dia tidur sekarang ni dengan keadaan dirinya yang uzur dengan tidak makan sejak petang tadi.

Semakin difikir, semakin kacau dibuatnya. Masing-masing dah keletihan…biji mata bukan lagi dah berjegil, tapi dah terjojol…maka kami ambil keputusan untuk call off pencarian pada malam itu.

Besok petang kami teruskan operasi mencari….sudah bawa malam kedua dan seterusnya sehingga malam ketiga kami tetap gagal menemui Pak Osman. Ahli keluarga di rumah sudah mula membaca surah Yassin dan membuat sembahyang hajat.

Di pendekan cerita, pada petang hari kelima kehilangan Pak Osman, kami terima panggilan telefon dari balai polis ada seseorang seperti laporan kami di tahan di lokap. Kami bergegas ke sana dan tepat sekali…memang itulah Pak Osman. Aku menangis melihat keadaan dirinya yang bukan saja tidak terurus bahkan terlalu amat sukar untuk aku gambarkan keadaan dirinya ketika itu.

Dari keterangan polis, Pak Osman ditemui di dalam longkang besar tanpa seurat pakaian di badannya. Senang kata dia bogel. Maka polis terpaksa tahan dia di lokap kerana sangkakan orang gila dan tiada dokumen pengenalan diri. Tetapi protes kami kenapa beliau dibuat sebegitu, sedangkan ketika membuat laporan kami sudah berikan mykad Pak Osman dan sudahpun dibuat salinan serta dengan gambar terbaru beliau.

Apa-apapun Pak Osman kami bawa ke hospital untuk pemeriksa lanjut. Dalam pemeriksaan doktor, didapati paru-paru Pak Osman dijangkiti kuman akibat minum air kotor…

Dari cerita yang kami perolehi, pakaian Pak Osman telah ditanggalkan….lebih kurang dicuri oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya. Baju…seluar…cermin mata dan topinya dilarikan. Pak Osman terasa malu berbogel di khalayak maka beliau menyorok dalam longkang besar sehinggalah pihak polis datang membawanya ke balai.

Punca awalnya, Pak Osman mengaku dia ke pasar kerana boring terkurung di laman. Apabila dia hendak balik, dia terlupa jalan…dan ini membuatkan dia merayau dari Subang Jaya membawa ke USJ dan sehingga dia ditemui di dalam longkang berhampiran kawasan perindustrian USJ berhampiran Puchong.

Share on Facebook

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress | Palm Pre Reviews at Palm Pre Blog. | Thanks to Juicers, Free MMO and Fat burning furnace