Pada mulanya agak terkial-kial juga mencari bahan untuk menyiapkan sebuah skrip dokumentari berkaitan Zoo Negara.
Dalam perbincangan awal dengan produser, mereka mahukan satu kelainan kerana dokumentari ini bukan untuk siaran televisyen. Tetapi ia akan dihadiahkan kepada pihak zoo dalam mereka menjana lebih banyak penaja membiayai haiwan-haiwan yang terdapat.
Seperkara lagi ia turut menyentuh sukarelawan yang terdiri di kalangan pelajar-pelajar dan juga ahli-ahli badan-badan NGO. Dalam terkial-kial itu, aku berjaya memperolehi bahan yang agak menarik untuk diketengahkan kepada khalayak.
Selepas kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Persatuan Agri-Horticultural Malaya (MAHA) telah mengadakan pameran tahunan ‘miniture zoo’. Individu yang bertanggungjawab mengendalikan pameran tersebut ialah Encik V.M. Hutson (beliau kemudiannya dikenali sebagai Tan Sri.
Haiwan-haiwan untuk tujuan pameran tersebut dijaga sendiri oleh beliau di taman seluas 5 hektar berdekatan rumahnya di Bangsar Estet (kini dikenali Damansara). Antara koleksi haiwan ialah seekor harimau dari Indo-China, 3 ekor orang utan serta 6 ekor buaya muara dan lain-lain lagi. Tetapi siapa sangka, bermula daripada haiwan-haiwan tersebut ia menjadi pemangkin kepada kewujudan Zoo Negara sekarang.
Pada awalnya banyak perbincangan telah diadakan. Sebenarnya kerajaan tidak berkemampuan menampung kos projek tersebut. Tetapi mereka berharap kerajan memberi pengecualian cukai dam duti hiburan serta sedikit peruntukan kewangan tahunan. Akhirnya badan kerajaan tempatan dan kerajaan pusat bersetuju.
Sekali lagi mereka menghadapi masalah dalam pemilihan tapak yang sesuai. Semua kawasan di sekitar Taman Tasik, Pantai dan Taman Templer telah dikaji, namun tidak ada satu pun menunjukkan ia sesuai dijadikan sebagai sebuah zoo.
Dengan bantuan seorang pakar zoo dari Colombo, mereka telah memilih tapak di Hulu Kelang sebagai tapak zoo. Ketika itu tapak itu di kelilingi hutan dan estet getah dan terdapat sebuah perkampungan kecil yang hanya terdapat 10 buah rumah kayu. Dalam lawatan Perdana Menteri kita yang pertama, Y.T.M Tengku Abdul Rahman, beliau bersetuju tapak itu dijadikan sebagai Zoo Negara.
Kini setelah 47 tahun sejak Zoo Negara diwujudkan pada tahun 1963, tapak tersebut mula mengancam haiwan-haiwan akibat pembangunan pesat di sekeliling. Banyak perbincangan dan cadangan dilontarkan agar zoo dipindahkan. Antaranya di sekitar Putrajaya, Taman Cahaya Sri Alam, Sepang dan Hulu Langat. Namun sehingga kini masih belum selesai, pihak zoo mengambil langkah proaktif dengan mencadangkan Pelan Sempadan (The Hornbill Report) agar dipertimbangkan oleh kementerian.
Namun dalam pada itu, pihak produser yang menaja dokumentari ini akan mewar-warkan sebuah kawasan hutan rimba asli seluas 200 hektar di Kemesah Heights dijadikan tapak Zoo Negara yang baru. Lagipun jarak dengan tapak sekarang taklah begitu jauh sangat. Ini akan memudahkan pemindahan haiwan-haiwan terbabit.
Tetapi seperkara yang menarik di sini, seawal penubuhan zoo ia diterajui oleh Tan Sri V.M. Hutson, kini Dato’ Ismail Hutson, anaknya pula yang mengambil-alih sebagai pengerusi Zoo Negara.
Kalau dikutkan perancangan, dokumentari ini dijangka memulakan pengambaran pada bulan Mei ini kerana pada bulan Jun ia akan dipertontonkan kepada bakal-bakal penaja.
Share on Facebook
RSS Feed
Twitter

Posted in 





